Monday, November 14, 2011

jam ooooo jam

assalamualaikum w.b.t...
sabtu,,12/11/2011...4.55 pm...hehehe,,mcm pendahuluan nk nulis diari la plak..
masih dok kat lab 318 lg..dok sorang2 plak tu,,bg mngurangkan sgala rase tkot,,gabra dan bla3
jd saya ambik mse jp nk update blog sementara nk tggu enzyme activity yang sgt la memenatkan..(T_T)
uiisshh,,,siang2 pn tkot ye,,,bkan tkot,,x brani aje..ate mne x nye,,bru2 ni ad plak kak senior tu cte psal cte mistik kat lab ni, saya ni pn mmg suke psang telinga,,ble time sunyi sepi mle la dok terbayan,,haahh! rasakan..;p

sambung kat bilek,,hehehe

anda semua percaye pade gerak ati x??bru2 jam kesayangan saya,,hilang ntah kemane,,
pusing USM jgak la saya nk mencari nye,,first dpt tau jam tu ilang,,mngis jgak la nk mencari nye n gerak ati ckp mmg xkan jmpa dah jam tu,,,adoyaiii,,agak terkilan jgak la,,5 taun dah saya dok pkai jam tu,,
nk kate mahal,,uuiiissshhh jauh panggang dari bara,,,murah je,,dalam berbelas hinggit,,hehe,,
tp yang best tu,,setaun sekali je sy dok tukar bateri,,,jarum pusing2 tu pernah tercabut sekali,,n jam tu tahan air,,,
x semestinya bende yang murah tu x bgos kan? see sy dah prove kan statement ni,,hehhe
tu la jam sy pkai time spm,,matrik n kat USM ni,,
emm bleh dikatekan 24 jam saya pkai jam tu,,ni la klau dah malas melampau,,tu la sy mmg cri jam kalis air,,nk ambik wuduk pn senang..^^

hanya tinggal kenangan,,kangen bangat!!


yang ilang dah berganti,,blek perak ari tu pegi kdai yang sme,,cri jam yang sme gak,,cme jam baru kali ni xbernumber,,sama tapi x serupa,,tu la hakikatnya,,yang lame ttp dirindui,,hehhee,...tp jam tu dah nek dua kali ganda harganye,,adess,,tp x pe la,,hidupku terumbang ambing ble xde jam,,skema je ayat,,hihihi,,appn mgkin ati sy mmg agk ssh utk terima sesuatu yang baru ,, terlalu setia la konon pada yang lme,,merasakan bhawa yang lme adalah yang terbek,,pdahal byk lg yang terbek,,,;DDD hehe,,

.:: sHarinG is CaRinG ::.

 1.0 PENDAHULUAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dan bersyukur ke hadratNYA dengan limpah dan kurnia yang diberikan , saya Nor Azura Binti Azami dari Pusat Pengajian Sains Biologi telah berjaya menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan. Di sini juga saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih  kepada guru penasihat, Dr. Roshimah binti Shamsuddin serta ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya dalam menyediakan amanah ini. Saya telah dipilih untuk membincangkan tentang kedudukan al-sunnah dan hubungannya dengan Al-Quran dalam sistem perundangan Islam.
Unsur terpenting dalam perundangan Islam adalah skima hukumnya iaitu sumber dalam melaksanakan perundangan Islam yang bersandarkan kepada Al-Quran dan As-sunnah. Sumber hukum berdasarkan kedua-dua sumber ini adalah sebagai rujukan bagi umat Islam bagi memahami setiap hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dengan lebih jelas lagi. Allah S.W.T bersifat bijaksana dan maha mengetahui tentang sesuatu perkara. Oleh itu, Allah  telah  menetapkan hukum-hukum yang tertulis di dalam Al-Quran untuk dijadikan panduan hidup manusia sesuai mengikut peredaran masa dan tempat. Setiap umat Islam wajib mematuhi serta menegakkan undang-undang Allah berpaksikan sumber yang kukuh iaitu Al-Quran dan As-sunnah. As-sunnah merupakan sumber rujukan kedua selepas Al-Quran dan juga memainkan peranan penting dalam sistem perundangan Islam. Beberapa isi penting telah saya selitkan dalam penyediaan esei ini yang menerangkan tentang sumber rujukan utama perundangan Islam, pengertian as-sunnah serta hubungannya dengan Al-Quran dalam perundangan Islam.
Diharapkan segala isi kandungan esei ini dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri serta kepada yang membacanya. Sesungguhnya segala kebaikan itu datangnya daripada Allah dan segala keburukan dan kelemahan dalam menyiapkan esei ini adalah datang dari kelemahan saya sendiri.
Sekian, Wasalam….




2.0 SUMBER UTAMA PERUNDANGAN ISLAM
2.1 AL-QURAN
Al-Quran bermaksud mengumpulkan dan menghimpun juga bermaksud  menghimpun huruf-huruf dan kata-kata dalam satu ungkapan kata yang indah. Al-Quran diturunkan kepada manusia secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun dan tiada penentangan antara satu sama lain. Al-Quran ditulis di dalam mashaf, iaitu dalam bahasa Arab, disampaikan secara mutawatir.
Al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan Allah kepada nabi Muhammad s.a.w secara berperingkat-peringkat melalui perantaraan malaikat Jibril. Al-Quran merupakan mukjizat yang bersifat abadi dan berbeza dengan mukjizat-mukjizat yang diturunkan Allah kepada rasul-rasul sebelumnya. Al-Quran merupakan panduan umat Islam hingga ke akhir zaman. Selain itu, skop dan isi kandungan bagi kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ini mempunyai kandungan yang menyeluruh dan menyentuh pelbagai aspek ilmu pengetahuan, perundangan dan menjangkaui alam fizik dan juga metafizik. Firman Allah yang bermaksud
“Dan (ingatlah) pada hari kiamat (ketika) kami bangkitkan pada setiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri, dan kami datangkan engkau (Muhammad) menjadi saksi atas mereka. Dan kami turunkan kitab (Al-Quran) kepadamu untuk menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri (muslim)..”                                                                            (al-nahl : 89)
Fungsi utama al-Qur'an adalah kitab petunjuk (kitabul hidayah) kepada umat manusia. Di samping itu al-Qur'an juga memiliki fungsi-fungsi yang lain seperti Kitab berita (an-Naba’ wal akhbar), dari sini kita dapat melihat bahawa Al-Quran berfungsi sebagai pemberi berita kepada seluruh umat merangkumi perkara-perkara yang telah dan yang akan berlaku. Selain itu, Al-Quran juga berfungsi sebagai Kitab hukum dan aturan (al-hukmu wasy syari’ah). Pelbagai hukum hakam yang merangkumi kehidupan manusia seperti perkahwinan, talak, hukum minum arak, zina, merompak serta berjudi telah tertulis di dalam Al-Quran. Al-Quran juga berfungsi sebagai Kitab ilmu pengetahuan  (Kitabul ‘Ilm) yang juga boleh dijadikan sumber rujukan dalam menuntut ilmu pengetahuan.[1]
2.2 AS-SUNNAH
            As-sunnah dari segi bahasa adalah jalan yang dilalui atau amalan yang sudah menjadi kebiasaan dan dari segi istilah pula bermaksud semua perkara yang datang atau diriwayatkan dari Nabi Muhammad s.a.w  sama ada melalui perbuatan (fi’liyyah), perkataan (qauliyyah) atau pengakuan (taqririyyah) baginda. Antara contoh sunnah Rasulullah yang disampaikan melalui perbuatan adalah, Rasulullah bersabda, “solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat”. Selain itu, contoh sunnah dalam percakapan pula ialah, Rasulullah bersabda, “sesungguhnya setiap perbuatan itu dengan niat” dan contoh bagi pengakuan Rasulullah pula adalah pengakuan Rasulullah s.a.w atas perlakuan dua sahabat baginda iaitu ketika dalam perjalanan, mereka tidak menemukan air untuk mengambil wuduk, lalu kedua orang sahabat baginda itu bertayamum dan mengerjakan solat. Kemudian, mereka terjumpa air sedang waktu solat masih ada, lalu salah seorang daripada mereka mengambil wuduk lalu mengerjakan solat dan seorang lagi tidak mendirikan solat. Perlakuan kedua orang sahabat itu diakui oleh Rasulullah s.a.w .[2]
            Segala apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah melalui percakapan, pengakuan serta perbuatan ini adalah wahyu daripada Allah dan bukanlah sesuatu yang datang megikut kehendak hati baginda. Seperti firman Allah di dalam Al-Quran yang berbunyi
“ Dan tidaklah yang diucapkan itu (Al-Quran) menurut keinginannya. Tidak lain Al-Quran itu) adalah wahtu yang diwahyukan (kepadanya) ”                               (Al-Najm:3-4)
Melalui ayat Al-Quran diatas, kita adapat lihat bahawa Al-Quran yang menjadi sumber utama dalam menunjuk manusia kearah kebenaran juga menjelaskan bahawa apa yang disampaikan oleh nabi Muhammad adalah wahyu daripada Allah. Hal ini bermakna, kita sebagai manusia tidak boleh mengambil ringan serta mempertikaikan lagi tentang perintah Allah kepada manusia melalui sunnah Rasulullah s.a.w. [3]
            As-sunnah adalah rujukan kedua selepas Al-Quran. Segala yang dilaksanakan oleh Rasulullah hendaklah diamalkan kerana segalanya adalah perintah daripada Allah dan hendaklah kita meninggalkan larangan yang ditegah Rasulullah. Didalam Al-Quran juga telah menyebut, fiman Allah yang bermaksud
“..ap yang disampaikan kepadamu oleh Rasul maka ambillah dan apa yang ditegah oleh Rasul maka tinggallah..”                                                                            (al-Hashr : 7)
            Disamping itu, mencintai kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad samalah juga seperti kita mencintai Allah. Seperti firman Allah yang berbunyi
“ Barang sesiapa yang mentaati Rasul (Muhammad), maka sesungguhnya dia mentaati Allah. Dan barang siapa yang berpaling (dari ketaatan) itu, maka ketahuilah kami tidak mengutuskanmu (Muhammad) untuk menjadi pemelihara mereka..” (Al-Nisa : 80)

2.2.1 PEMBAHAGIAN AS-SUNNAH
            As-sunnah boleh dibahagikan kepada tiga iaitu, Hadis Mutawatir, Hadis Masyhur dan juga Hadis Ahad. Hadis Mutawatir adalah hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah oleh sekumpulan perawi. Hadis ini merupakan satu keterangan yang kuat pada peringkat sanad (salasilah para perawi yang meriwayatkan hadis)  yang mustahil pada akal mereka bersepakat untuk mendustakan Rasulullah daripada awal sanad hingga ke akhirnya. Selain itu, hadis ini boleh diterima sebagai hujjah atau dalil bagi hukum syarak kerana kekuatan dalilnya sama seperti Al-Quran. Antara contoh hadis Mutawatir adalah bilangan solat fardhu dan rakaatnya. Oleh itu, para Ulama’ telah bersepakat bahawa mereka yang ingkar atau tidak percaya kepada hukum-hukum syarak yang bersumberkan Hadis Mutawatir adalah kafir. [4]
            Hadis Masyhur ialah hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah oleh perawi yang kurang daripada lima orang. Hadis Masyhur ini juga adalah dalil yang kuat namun tidak sekuat atau setanding Hadis Mutawatir.
            Seterusnya adalah Hadis Ahad. Hadi sAhad ialah hadis yang diriwayatkan oleh beberapa orang yang tidak sampai bilangannya pada tahap hadis Mutawatir dan juga hadis Masyhur. Hadis ini juga mempunyai beberapa cabang sama ada berstatus sahih (tiada tentangan dengan nas lain), hasan (dhabit perawi kurang dari hadis sahih), daif atau maw’du (palsu). Manusia wajib beramal dengan Hadis Ahad ini jika hadis ini menepati syarat-syarat penerimaan sesebuah hadis. [5]

            Kita sebagai manusia hendaklah terhindar daripada mengamalkan hadis-hadis yang palsu yang boleh membawa kita kepada azab dan seksaan api neraka. Sebagai perkongsian    “ Barangsiapa yang membuka jalan yang baik maka baginya pahala dan pahala ke atas orang yang beramal dengannya hingga ke hari akhirat. Sebaliknya barang siapa yang membuka jalan yang buruk maka orang itu akan mendapat dosa dan dosa orang yang mengerjakannya hingga ke hari akhirat” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).[6]

2.3 KEDUDUKAN AS-SUNNAH
            Al-Quran mengandungi segala hukum yang diperlukan manusia untuk panduan hidup kearah kebenaran. Namun, tidak semua hukum tersebut dinyatakan secara terperinci kerana ada di antaranya menerangkan hanya prinsip-prinsip umum yang bercorak asas sahaja. Oleh itu, sunnah Rasulullah s.a.w diperlukan sebagai rujukan untuk penjelasan yang lebih mendalam lagi. Seperti firman Allah yang berbunyi
“Kami turunkan kepada kamu kitab supaya kamu menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka”                                                                                  (Al-Nahl : 44)
Melalui ayat diatas kita dapat lihat, tugas Rasulullah bukanlah sekadar menyampaikan tetapi juga memberi penjelasan terhadap apa yang diterima daripada Allah melalui wahyu. As-sunnah mempunyai kedudukan yang sangat tinggi sebagai rujukan umat manusia dalam menjalani kehidupan di dunia yang juga telah diperjelaskan dalam Ayat Al-Quran itu sendiri.
            Imam Syafi’i juga berkata, Satiap apa yang datang dari sunnah Rasulullah s.a.w adalah penjelasan bagi kitab Allah. Maka, setiap umat manusia yang menerima hal-hal fardhu yang terdapat di dalam Al-Quran wajiblah menerima sunnah-sunnah Rasulullah sebagai petunjuk dalam kehidupan di dunia  kerana di dalam Al-Quran sendiri telah menyebut bahawa Allah mewajibkan umat-umatNYA mentaati RasulNYA dan mematuhi hukum-hukumnya. orang-orang yang menerima apa yang datang dari Rasulullah, bererti dia menerima apa yang datang daripada  Allah. [7]
           

            Imam Syafi’i dan juga Imam al-Auza’i berpendapat bahawa Al-Quran lebih berhajat kepada Hadis daripada Hadis berhajat kepada Al-Quran dan pendapat ini disokong oleh Imam Ahmad bin Hambal. Melalui pendapat ini kita dapat lihat bahawa as-sunnah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kehidupan manusia. Hukum-hukum yang terdapat di dalam Al-Quran memerlukan hadis bagi menjelaskan hukum-hukum yang umum dan mujmal. Manusia yang mengambil dalil hukum-hukum Islam dengan bersandarkan ayat-ayat Al-Quran yang umum dan mujmal sahaja tanpa tafsiran hadis akan disangsi kebenarannya dan mungkin perintah yang dikehendaki oleh Allah untuk dilaksanakan manusia itu tidak akan tercapai. [8]


3.0 HUBUNGAN AS-SUNNAH DENGAN AL-QURAN DALAM SISTEM PERUNDANGAN ISLAM
            As-sunnah merupakan sumber kedua terpenting yang dijadikan  rujukan bagi umat Islam selepas Al-Quran. Seperti yang telah saya nyatakan pada muka surat sebelumnya, as-sunnah adalah segala perbuatan, percakapan dan pengakuan yang datang daripada Rasulullah yang merupakan wahyu daripada Allah. Jika kita perhatikan dengan teliti bahawa As-sunnah mempunyai perhubungan yang penting dengan Al-Quran.Antaranya adalah, tidak semua  hukum-hukum yang dinyatakan di dalam Al-Quran dinyatakan secara terus iaitu mempunyai maksud yang jelas. Oleh itu, As-sunnah berperanan dalam memperincikan hukum-hukum yang terdapat di dalam Al-Quran. Sebagai contoh, firman Allah yang bermaksud,
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah , daging babi dan (daging) haiwan yang disembelih bukan atas (nama) Allah, tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, yang diterkam binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih..”                                                                                                                                                                   (Al-Maidah : 3)
Ayat Al-Quran diatas telah diperincikan oleh As-sunnah. Rasulullah bersabda                        “ Dihalalkan dua jenis bangkai bagi kita iaitu ikan dan belalang dan dua jenis darah iaitu hati dan limpa” Hadis riwayat (Ahmad dan Ibn Majah) . Melalui ayat Al-Quran diatas, Islam mengharamkan bangkai dan darah secara mutlak, namun, melalui as-sunnah jelas menunjukkan bahawa dua jenis bangkai yang boleh dimakan adalah ikan dan belalang dan dua jenis darah yang halal  dimakan adalah limpa dan juga hati.
            Firman Allah yang seterusnya berbunyi,
“ Allah menetapkan pusaka bagi anak lelaki sama dengan dua anak perempuan, jikalau anak perempuan lebih daripada dua maka bagi mereka dua pertiga dari pusaka dan jika ia seorang sahaja maka dia mendapat setengah. Dan bagi ibu bapa tiap-tiap seorang mendapat satu perenam daripada pusaka jika ia mempunyai seorang anak lelaki”                                                                                                                                     (An-Nisa : 11)

“ Bagi kamu (suami-suami) mendapat harta-harta setengah daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak lelaki, jika mereka mempunyai anak lelaki maka kamu mendapat satu perempat daripada apa yang ditinggalkan selepas diselesaikan wasiat yang diwasiatkan dan hutang”  (An-Nisa:12)
Daripada dua ayat ini kita dapat melihat dengan jelas bahawa ibu bapa dan suami berhak ke atas harta yang ditinggalkan oleh anak dan isterinya yang telah meninggal dunia. Ibu bapa dan si suami yang dimaksudkan dalam ayat diatas adalah bersifat umum iaitu ibu bapa dan si suami berhak menerima harta pusaka dalam semua keaadaan. Namun, as-sunnah telah mengkhususkan ayat ini, iaitu ibu bapa atau si suami yang berhak ke atas harta peninggalan anak atau isterinya adalah seorang muslim, bukan hamba dan juga bukan pembunuh kepada si mati. Hal ini bermaksud, suami yang bukan beragama Islam dan juga pembunuh kepada isterinya adalah tidak layak untuk menerima harta pusaka daripada isterinya seperti yang telah dijelaskan dalam as-sunnah. [9]
            Fungsi As-sunnah yang seterusnya adalah memperincikan ayat-ayat Al-Quran. Terdapat ayat-ayat A-Quran yang memberi maksud ringkas dan umum. Antaranya firman Allah yang berbunyi
“ Dirikanlah solat dan tunaikan zakat” (Al- Baqarah : 110)
Melalui ayat diatas, kita dapat melihat Allah memerintahkan umat manusia menunaikan solat dan zakat. Namun, jumlah rakaat bagi setiap solat fardhu tidak dinyatakan secara terperinci di dalam Al-Quran. Maka, sunnah Rasulullah lah yang berperanan dalam memperincikan waktu dalam mendirikan solat, jumlah rakaat yang wajib dilaksanakan dan cara melaksanakannya. Sebagaimana yang telah dijelaskan melalui sabda Rasulullah yang berbunyi, “solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” Rasulullah telah mengajar para sahabat serta umat yang terdahulu dalam melaksanakan ibadat solat berserta dengan jumlah rakaat dan pada waktu yang betul. Selain itu, Rasulullah juga telah mengajar cara melaksanakan haji dengan betul kepada umat Islam.[10]
            Disamping itu, hubungan As-sunnah dengan Al-Quran dalam perundangan Islam adalah  As-sunnah berfungsi dalam memperjelaskan ayat-ayat Al-Quran yang kabur. Ayat Al-Quran yang kabur disini bermaksud ayat yang kurang jelas yang memerlukan penjelasan dan kefahaman untuk melaksanakannya. Sebagai contoh, firman Allah yang bermaksud
“ Berkahwinlah kamu dengan perempuan yang kamu ingini, berdua, bertiga dan berempat, dan jika kamu takut tidak berlaku adil maka kahwinlah satu sahaja, atau pakailah hamba yang kamu miliki”                                                                       (An-Nisa : 3)
Ayat Al-Quran di atas menerangkan seseorang lelaki itu dibenarkan untuk berkahwin lebih daripada satu iaitu sebanyak empat orang wanita pilihannya jika dia mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya dan jika dia tidak mampu untuk berlaku adil, maka berkahwinlah dengan seorang wanita sahaja. Disini kita juga dapat melihat bahawa hanya perkahwinan dan juga perhambaan yang menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan itu. Namun, penjelasan tentang cara perkahwinan dan syarat-syarat yang dikenakan untuk berkahwin tidak dinyatakan di dalam Al-Quran. Oleh itu, Rasulullah telah menyampaikan wahyu Allah dengan bersabda, “Tidak sempurna nikah kecuali persetujuan wali dan tidak sempurna nikah kecuali dengan disaksikan oleh dua orang saksi” . Disini kita dapat huraikan bahawa, sesuatu perkahwinan itu penting untuk mendapatkan persetujuan wali bagi pihak perempuan dan perkahwinan tersebut wajib mempunyai dua orang saksi.[11]
Firman Allah yang seterusnya berbunyi
“Orang-orang yang beriman tidak boleh mencampurkan keimanan mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang yang mendapat rasa aman dan mereka mendapat petunjuk”                                                                                                          (Al-An’am:82)
Ayat tersebut tidak menjelaskan makna zalim yang sebenarnya. Zalim mempunyai makna dalam konteks yang amat luas. Namun, dalam sunnah Rasulullah s.a.w , perkataan zalim disini membawa kepada maksud syirik. Hal ini bermaksud Allah melarang orang-orang beriman melakukan syirik walaupun hanya di dalam hati. [12]
            Selain itu, mengehadkan maksud ayat Al-Quran yang luas juga merupakan salah satu hubungan as-sunnah dengan Al-Quran dalam perundangan Islam. Di dalam Al-Quran juga mengandungi ayat-ayat yang mempunyai pengertian yang luas dan memerlukan penjelasan untuk memahami maksud sebenar. Firman Allah yang berbunyi
“ Pencuri lelaki dan perempuan hendaklah dipotong kedua tangannya sebagai pembalasan terhadap apa yang telah mereka lakukan, balasan daripada Allah dan Allah maha Perkasa, Maha Bijaksana ”                                                                  (Al-Maidah : 38)
Hukum potong tangan bagi kesalahan mencuri melalui ayat diatas adalah mutlak. Hal ini bermaksud, setiap manusia yang melakukan jenayah mencuri akan dipotong tanngan secara serta merta. Namun, melalui sunnah Rasulullah, hukuman tersebut hanya boleh dijalankan jika ada perkara-perkara yang lain lagi yang boleh disabitkan dengan jenayah curi ini. Sebagaimana hadith Rasullullah s.a.w, “ diangkat tanggungjawab daripada tiga golongan, orang yang tidur sehinnga dia sedar, kanak-kanak sehinnga dia baligh dan orang mabuk sehingga dia sedar ” Selain itu, baginda juga bersabda, “Tidak dipotong tangan pencuri yang mencuri kurang daripada ¼ dinar”. Melalui dua hadis di atas kita dapat pencuri yang tidak siuman dan juga belum baligh tidak dikira dalam hukuman potong tangan ini. Mereka yang dikenakan hukuman potong tangan ini adalah orang yang siuman, sudah baligh dan juga mencuri memang niat untuk mencuri hak orang lain untuk kepentingan diri sendiri dan bukan dalam keadaan terpaksa. Selain itu, nilai curiaan juga adalah melepasi had yang telah ditetapkan.[13]
            Sebagai tambahan, hukum-hukum yang terkandung di dalam sunnah Rasulullah s.a.w bukanlah semata-mata membicarakan tentang perkara-perkara yang berhubung ibadat, perkahwinan, muamalat serta jenayah sahaja, tetapi sunnah Rasulullah juga membincangkan soal akhlak dan kemasyarakatan. Sebagai contoh, hadis Rasulullah s.a.w menekankan kepentingan berakhlak bagi setiap mukmin, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya. “ (Riwayat Abu Dawud, Ahmad dan At-Tirmidzi ) . Disamping itu, Rasulullah s.a.w juga berpesan agar berkasih sayang sesama manusia dan elakkan pertelagahan yang berpanjangan sehingga boleh memutuskan hubungan silaturahim sesame manusia. Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah bersabda, "Tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan (memutuskan hubungan persaudaraan) saudaranya melebihi tiga hari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). [14]

           
4.0 KESIMPULAN
                Allah telah mengutuskan  seorang Rasul  untuk dijadikan contoh kepada manusia agar seseorang manusia itu mengejar erti sebuah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Segala-galanya terletak pada pilihan manusia itu sendiri sama ada mahu mengikut jalan yang membawa kepada redha Allah atau sebaliknya. Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sempurna zahir dan batin. Allah telah memelihara peribadi baginda daripada sebarang kesalahan dan cacat cela agar baginda boleh menjadi contoh yang agung kepada umatnya. Diriwayatkan dari Aisyah r.a ketika ditanya mengenai akhlak Rasulullah s.a.w beliau menjawab, “Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran” (Riwayat Imam Ahmad) dan juga firman Allah yang berbunyi,
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w contoh ikutan yang baik”                                                                                                                                        (Al-Ahzab:21)
            Seperti yang telah dijelaskan tadi, as-sunnah adalah segala yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w sama ada melalui percakapan, perbuatan atau pengakuan baginda. As-sunnah adalah wahyu daripada Allah yang disampaikan melalui Rasulullah s.a.w untuk menjelaskan maksud-maksud ayat Al-Quran yang diturunkan secara umum tanpa perincian, atau menerangkan hukum-hukum syarak yang tiada nas-nas yang jelas dalam Al-Quran. Adakalanya ayat Al-Quran menggambarkan perilaku suruhan, as-sunnah pula menggambarkan perbuatan. Tidak kurang juga Al Quran menceritakan secara ringkas , As Sunnah akan memanjangkannya hingga jelas dan terang cerita atau hukum hakamnya. Segala penjelasan dan penerangan yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w melalui perbuatan, percakapan atau amalan baginda adalah wahyu daripada Allah dan bukan menurut kehendak hati baginda semata-mata. Allah juga telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik. Kesimpulannya, jika kita perhatikan dengan teliti, hubungan antara As-sunnah dan Al-Quran memang tidak dapat dipisahkan. [15]
            Rasulullah juga bersabda  Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh dengan keduanya iaitu kitab Allah dan sunnahku” Oleh itu, kita sebagai khalifah di muka bumi ini wajiblah taat pada hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah melalui kitab suci Al-Quran dan juga sunnah Rasulullah s.a.w.  Kalau ada sesetengah pihak  mengatakan mereka hanya berpandukan  Al-Quran sahaja  dan  As-Sunnah diketepikan, maka,mereka akan tergolong dalam kalangan manusia yang tersesat dari jalan kebenaran. Sebagai contoh tentang satu kisah, Dari Hasan al-Bashri bahawasanya Imran bin al-Husain ketika duduk bersama sahabat-sahabatnya, dan berkatalah salah seorang dari masyarakat, “Janganlah kalian bercerita kepada kami kecuali dengan Al-Quran sahaja,” lalu Imran bin Husain berkata, “Kemarilah!,” Maka orang itu mendekati, dia berkata, “Bila kamu dan kawan-kawanmu hanya menerima dari al-Quran saja, apakah kamu mendapati dalam Al Quran mengatakan solat zuhur empat rakaat, solat asar itu ada empat rakaat dan solat maghrib dilakukan dengan tiga rakaat? Apa pendapatmu seandainya kamu dan kawan-kawanmu hanya menerima dari Al Quran saja, apakah kamu menemui kandungan yang menjelaskan  tawaf tujuh kali keliling dan tawaf di bukit sofa dan marwa? Kemudian beliau berkata: ‘Wahai kaum, ambillah dari kami, kerana kalian –demi Allah- jika tidak berbuat demikian tentu akan sesat”[16]
            Sesungguhnya,  perkataan yang paling benar adalah kitab Allah (Al-Quran) dan petunjuk yang paling baik adalah petunjuk Rasulullah s.a.w. Semoga kita beroleh rahmat Allah dalam meniti makna sebuah kehidupan dan sentiasa berjihad melawan nafsu serta bisikan syaitan. Wallahualam.


5.0 RUJUKAN
1) Al-Quran Dan Terjemahannya. Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur. Penerbit Al-Quran Darul Iman.
2) Abdul Halem El-Muhammady. (1994) Sumber Undang-undang Islam dan Pandangan   Orientalis. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Penerbit Budaya Ilmu Sdn. Bhd.
3) Abu Husny. (1987) Pembinaan Perundangan Hukum Islam. Singapura. Penerbit Pustaka Nasional.
4) Abd. Jalil Borham. Pengantar Perundangan Islam. Johor Darul Takzim. Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
5) http://penatulis.blogspot.com/2010/07/hadis-nabi-tentang-akhlak-yang-buruk.html
                                                                          



[1] http://ansharjalante.multiply.com/journal/item/76
[2] http://www.slideshare.net
[3] Abu Husny, Pembinaan Perundangan Hukum Islam m/s 57
[4] Abu Husny, Pembinaan Perundangan Hukum Islam m/s 64
[5] Abdul Halem. Sumber Undang-undang Islam m/s 20. Nota kuliah.
[6] Abd. Jalil Borham. Pengantar Perundangan Islam m/s 47.
[7] http://ustadzkholid.wordpress.com/2008/06/03/kedudukan-sunnah-dalam-islam/
[8] Abu Husny. Pembinaan Perundangan Hukum Islam m/s 62.
[9] Abdul Halem, Sumber undang-undang Islam. m/s 16
[10] Abdul Halem, Sumber undang-undang Islam, m/s 17
[11] Abdul Halem, Sumber undang-undang Islam m/s 17
[12] Abu Husny, Pembinaan Perundangan Hukum Islam m/s 61
[13] Abdul Halem, Sumber undang-undang Islam m/s 19
[14] http://penatulis.blogspot.com/2010/07/hadis-nabi-tentang-akhlak-yang-buruk.html
[15] http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg00565.html
[16] http://ustadzkholid.wordpress.com/2008/06/03/kedudukan-sunnah-dalam-islam/