Wednesday, February 16, 2011

kerJa kurSus ..(^_~) tazkiYatuN naFs


PENDAHULUAN
            Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah dan kuniaNYA , saya Nor Azura Binti Azami dari Pusat Pengajian Sains Biologi telah berjaya menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan. Di sini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada guru penasihat, Prof. Madya Dr. Shakirah bt. Mat Akhir serta kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya dalam menyediakan amanah ini. Saya telah dipilih untuk membincangkan  konsep tazkiyah al-nafs dan kepentingannya dalam Islam.
Beberapa isi penting telah saya selitkan dalam penyediaan esei ini yang menerangkan tentang konsep tazkiyah al-nafs, cara melaksanakan dan kepentingannya dalam agama Islam. Selain itu, saya juga telah selitkan contoh-contoh dalil yang terdapat dalam Al-Quran mengenai tajuk ini.
Diharapkan segala isi kandungan esei ini dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri serta kepada para pembaca. Sesungguhnya segala kebaikan itu datangnya daripada Allah dan segala keburukan dan kelemahan dalam menyiapkan esei ini adalah dating dari kelemahan saya sendiri.
Sekian, Wasalam….




KONSEP TAZKIYAH AL-NAFS
“Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan dirinya”
(A’la ayat : 14)
            Al-nafs menurut pandangan Imam Al-Ghazali ialah salah satu daripada pengertian dibawah iaitu meliputi segala hawa nafsu yang terdapat dalam diri manusia  beserta perasaan marah yang kuat  yang merupakan punca bagi semua sifat tercela yang terdapat dalam diri manusia ataupun merujuk kepada hakikat diri dan zat sebenar diri manusia itu sendiri.[1]
            Jiwa manusia yang tidak terkawal adalah salah satu penghalang bagi manusia untuk mencapai ketenangan dalam menghadap Allah SWT.  Hidayah Allah tidak akan dapat meresap dalam sanubari seseorang manusia itu jika manusia itu tidak mampu untuk mengawal hawa nafsunya.
            Setiap manusia mengimpikan jalan makrifat di penghujung perjalanan hidup masing-masing. Namun, hanya golongan yang mampu membuktikan bahawa mereka mampu mengawal nafsu-nafsu mereka sahaja yang dapat  mencapai syurga Allah. Maka beruntunglah bagi manusia yang mampu mengawal nafsu mereka dan rugi bagi manusia yang sebaliknya. Seperti dalamfirman Allah
(Surah An-Naazi’at: 37-41)
“Adapun yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapunorang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka seseunngahnya syurgalah tempat tinggalnya.
            Al-nafs (jiwa) boleh dikategorikan kepada dua sifat iaitu, jiwa yang dikuasai oleh sifat-sifat tercela dan jiwa yang telah mencapai tahap kesucian, ketenangan dan ketenteraman ketika mengingati Allah  iaitu jiwa “muthmainnah” dan manusia yang memiliki sifat ini ialah golongan yang dijamin masuk ke syurga Allah. Seperti Firman Allah
(Surah Al-Fajr: 27-30)
“ Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang puas lagi dirhedai NYA. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hambaKU, dan masuklah ke dalam syurgaku.” [2]
            Tazkiyah dari segi bahasa membawa maksud bersuci manakala tazkiyah al-nafs dari segi bahasa membawa kepada pengertian menyucikan jiwa, diri serta nafsu  daripada perkara-perkara yang boleh melemahkan iman serta perbuatan buruk yang terdapat dalam diri manusia. Contoh sifat buruk yang terdapat dalam diri manusia ialah seperti kufur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah, hasad dengki, suka bermegah, terlalu cintakan dunia dan sikap cintakan harta kekayaan.
            Dari segi istilah pula, Tazkiyah al-nafs bermaksud satu usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan manusia untuk merubah segala sikap tercela atau hina yang terdapat dalam dirinya iaitu sifat mazmumah kepada sifat yang terpuji dan mulia akhlaknya iaitu sifat mahmudah.
            Manusia adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan oleh Allah kerana telah dikurniakan didalam diri manusia itu  nafsu serta akal. Nafsu samada baik atau jahat adalah dikawal oleh akal kerana akal mampu membezakan sesuatu perkara samada baik atau sebaliknya. Manusia mestilah  mendidik akal supaya sentiasa menghindarkan diri daripada memikirkan atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.        
            Tazkiyah al-nafs juga membawa maksud kepada  pembersihan jiwa manusia atau pembersihan hawa nafsu yang menjadi punca kepada segala sifat tercela yang terdapat dalam diri mereka. Selain itu, tafsiran tazkiyah al-nafs berdasarkan bidang kerohanian Islam adalah merujuk kepada suatu  usaha gigih dalam membersihkan diri dan nafsu daripada sifat tercela dan hina untuk dihiasi dengan sifat-sifat terpuji dan mulia.
            Dalam erti kata lain, penyucian nafsu juga merujuk kepada proses pembuangan sifat-sifat tercela yang ada dalam diri manusia seperti kufur, munafik, cintakan dunia serta harta benda, terlalu mengikut perasaan marah dan mengikut hawa nafsu. Selain itu, penyucian jiwa juga merujuk kepada proses pemakaian atau menghiaskan diri dengan akhlak yang terpuji dan mulia seperti ikhlas, tawakal, benar, takut menghadap Allah, taubat yang berterusan serta sifat-sifat yang seumpamanya. [3]
            Namun, untuk melaksanakna kedua-dua perkara diatas bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Proses penyucian dan mengubati  jiwa adalah lebih sulit dan berat daripada mengubati luka di badan karana banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuhi. Usaha bersungguh-sungguh adalah perlu bagi setiap individu dalam menjayakan proses penyucian jiwa ini selain mendapat limpah kurnia dan rahmat Allah .[4]
 Sebagaimana firman Allah dalam (surahAn-nisaa’: 49)
Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang yang menganggap dirinya suci (orang Yahudi dan Nashrani)? Sebenarnya Allah menyucikan siapa yang Dia kehendaki dan mereka tidak dizalimi sedikitpun.”
            Manusia tidak lari dari melakukan kesalahan samada sedar ataupun tidak. Pengaruh antara gejala baik dan buruk sering melanda jiwa dan diri manusia dalam proses membentuk peribadi masing-masing. Tazkiyah al-nafs atau penyucian jiwa ini hanya mampu dilaksanakan oleh mereka yang berjiwa kental dan bersungguh-sungguh mahu membuang segala sifat tercela dan menghiasi peribadi denag akhlak terpuji dan mulia. 


CARA MELAKSANAKAN TAZKIYATUL AL-NAFS
            Tanpa melaksanakan proses penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs) seseorang yang dicemari dengan sifat-sifat  tercela atau  mazmumah akan terus melaksanakan kerosakan kepada agama. Sebagai contoh orang yang bersifat tamak dan selalu melakukan perbuatan menipu terhadap semua orang mahupun penipuan kepada umat Islam atau yang bukan Islam.  Hal ini boleh menyebabkan orang bukan islam yang ditipunya turut memandangkan serong terhadap agama Islam.
          Pelaksanaan tazkiyah al-nafs merujuk kepada setiap amalan yang dapat melahirkan kesan positif ke atas al-nafs seseorang individu sehingga dapat menyembuhkan penyakit hati dan sifat-sifat tercela yang berkenaan dan menyemai
nilai-nilai akhlak yang mulia dalam diri individu itu sendiri.
            Proses untuk melaksanakan tazkiyah al-nafs ini terbahagi kepada dua bentuk. Pertama ialah suruhan kepada amalan-amalan  yang wajib disisi agama seperti sembahyang lima waktu, berpuasa, menunaikan zakat, menunaikan haji, dan ibadah-ibadah lain seperti membaca al-Quran, berzikir, bertakfur tentang ciptaan Allah, mengingati mati serta memendekkan angan-angan. Selain itu, amalan  mendekatkan diri kepada Allah seperti bangun malam, melakukan amal kebajikan, selalu berkunjung ke majlis ilmu, muhasabah diri dan berusaha bersungguh-sungguh  melawan hawa nafsu untuk memperbaiki diri.
          Proses yang kedua adalah suruhan dalam bentuk larangan dan tegahan. Suruhan ini berkaitan dengan penggunaan tujuh anggota badan manusia iaitu mata, telinga, lidah, perut, organ seks, tangan dan kaki. Untuk menyempurnakan proses tazkiyat al-nafs, manusia hendaklah memelihara kesucian tujuh anggota ini daripada segala perbutan yang bertentangan dengan Syariat Islam. Penyalahgunaan gunaan anggota badan ini ke arah perkara yang lalai akan  memberikan impak yang  buruk kepada diri manusia itu sendiri samada didunia  mahupun di akhirat.[5]
          Barangsiapa yang menggunaka nikmat yang telah Allah kurniakan kearah jalan yang tidak diredhai, maka mereka adalah tergolong dalam golongan yang sesat. Seperti dalam Firman Allah,
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahaminya dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi mereka itulah orang- orang yang lalai
          Untuk  melaksanakan tazkiyah al-nafs ini, setiap individu mestilah melaksanakan ibadah-ibadah ini dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan tanpa ada sebarang perasaan riak dalam diri setiap individu. Setiap ibadah yang diiringi dengan sifat ujub dan riak adalah amalan yang sia-sia dan tidak diterima oleh Allah.
          Kita sebagai khalifah di muka bumi ini mestilah berusaha meningkatkan keimanan kepada Allah kerana Allah telah berjanji bahawa beruntunglah bagi hambaNYA yang beriman dan bertakwa kepada Allah serta RasulNYA.


KEPENTINGAN TAZKIYAH AL-NAFS  DALAM ISLAM
            Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penyebab kepada  tingkah laku manusia  yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa manusia  itu dua ilham iaitu ilham berbentuk  jalan yang membawa  ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.
            Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada manusia yang  bertakwa.
Seperti firman Allah dalam (surah Asy-Syams:7-10).
Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya”
            Secara umumnya tazkiyah al-nafs membawa kepada kecenderungan dalam membersihkan diri daripada sifat tercela dan membuang seluruh penyakit hati serta menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji. Kedua-dua perkara ini mestilah berjalan seiring agar keseimbangan  itu dapat dicapai. Hal ini kerana, jiwa yang bersih daripada sifat-sifat tercela atau penyakit hati sahaja tanpa dihiasi dengan sifat-sifat terpuji akan menjadi kurang lengkap dan sempurna. Begitu juga sebaliknya, apabila diri dihiasi dengan sifat terpuji, namun sifat-sifat tercela seperti penyakit hati yang tidak dikikis dalam diri merupakan sesuatu yang tidak wajar.
            Pentingnya tazkiyah al-nafs dalam Islam adalah semakin jelas jika kita memahami maksud takwa yang hakiki  itu sendiri iaitu penyucian jiwa.Didalam Al-Quran sendiri telah cukup jelas menyataka bahawa penyucian jiwa berada pada status yang sangat tinggi dan amat penting. Salah satu tujuan Allah mngutuskan rasul dari kalangan manusia itu sendiri adalah untuk membersihkan manusia daripada sifat-sifat tercela dan menyemai akhlak yang mulia agar manusia terhindar daripada neraka Allah.  Firman Allah dalam
(surah Jummuah: 2)
Dialah yang mengutuskan dari kalangan orang-orang (Arabyang Ummiyin seorang Rasul ( Nabi Muhammad s.a.w)  dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka [yuzakkihim], serta mengajarkan mereka kitab Allah [Al-Quran] dan hikmah kebijaksanaan, Dan sesungguhnya mereka sebelum [kedatangan Nabi Muhammad] adalah dalam kesesatan yang nyata.
            Melalui ayat ini kita dapat melihat behawa tazkiyah al-nafs ini adalah salah satu tugas penting bagi Rasul sekaligus meletakkan ia pada kedudukan yang cukup penting dalam agama Islam. Kita sebagai umat Islam mestilah bersyukur akan kehadiran Rasulullah s.a.w yang telah diutuskan untuk menjadi pemimpin jalan menuju syurga Ilahi.Di dalam Al-Quran juga telah mengungkap bahawa kehadiran Rasul adalah rahmat terbesar bagi seluruh alam semesta yang menyamai nikmat manusia berkiblatkan kearah kaabah. Seperti firman Allah



(surah Baqarah :151)
[Nikmat berkiblatkan kaabah yang kami berikan kepada kamu itu] samalah sepertinikmat kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu [iaitu Muhammad] yang membacakan ayat-ayat kapada kamu dan membersihkan [yuzzakkikum] kamu dan mengajarkan kamu kandungan kitab Al-Quran serta hikmah kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui
            Kejayaan hidup manusia di dunia dan akhirat adalah bergantung kepada kejayaan seseorang individu itu menyucikan jiwa masing-masing semasa di dunia. Dalam erti kata lain, penyucian jiwa adalah salah satu asas dalam  menentukan kejayaan atau kebinasaan manusia itu. Jika sempurna penyucian jiwa mereka didunia, maka mereka akan menjadi orang yang berbahagia di akhirat nanti manakala jiwa sesorang individu itu merosakkan jiwa mereka dengan sifat tercela dan hina, maka mereka adalah tergolong dalam golongan yang rugi di akhirat nanti. [6]

           
 KESIMPULAN
            Tazkiyat an-nafsu merupakan proses yang amat penting dalam mengembalikan manusia kepada fitrah iaitu tunduk kepada arahan Allah.  Jiwa dan hati dalaman manusia memainkan peranan yang penting dalam kehidupan di dunia dan untuk mendapat kebahagiaan di akhirat.  Apa yang kita zahirkan adalah datang dari diri dalaman itu sendiri, jiwa baik akan menzahirkan tindak tanduk yang positif juga sebaliknya.  Ingatlah bahawa di akhirat kelak, Allah tidak memandang kepada rupa dan fizikal  manusia tetapi Allah hanya memandang kepada hati dan jiwa yang bersih dan amal manusia selama berada di dunia.
Sebagaiman dalam sabda Rasulullah
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk rupa dan harta-harta kalian, akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati kalian dan amal-amal kalian.”  [Muslim no. 2564] [7]
            Di dalam al-Quran juga telah menyatakan tentang bagaimana cara untuk
membersihkan hati daripada segala kekotoran seperti melalui taubat nasuha menjauhi
laranganNya malah telah mengutus para Rasul pula untuk menyempurnakan akhlak mulia dalam kalangan manusia kerana pentingnya pembersihan hati.[8]
            Penyucian hati manusia bergantung dari aspek dalaman manusia itu sendiri dalam mengendalikan serta mengarwal nafsu dari melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam agama Islam. Selain menghindarkan diri daripada melakukan perkara tercela, setiap individu mestilah menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan terpuji agar keseimbangan penyucian jiwa itu dapat dicapai untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.
RUJUKAN

1)   http://www.scribd.com/doc/39818787/Tazkiyat-An-Nafsu-pembersihan-hati
3)      http://alhujjah.com/index.php/component/content/article/23-tazkiyatun-nufus/65-tazkiyatun-nufus-penyucian-jiwa
4)      http://tazkiyah-annafs.blogspot.com/2006/07/pentingnya-tazkiyatun-nafs.html
6)      PENAWAR JIWA, Motivasi Ketenangan Dan Kebahagiaan Hidup
Mohd. Isa Selamat
Penerbit: DARUL NU’MAN




[1] http://www.scribd.com/doc/39818787/Tazkiyat-An-Nafsu-pembersihan-hati

[2] Penawar jiwa. Motivasi Dan Kebahagiaan Hidup  m/s 81
[3] http://www.scribd.com/doc/39818787/Tazkiyat-An-Nafsu-pembersihan-hati

[4] http://alhujjah.com/index.php/component/content/article/23-tazkiyatun-nufus/65-tazkiyatun-nufus-penyucian-jiwa
[5] http://www.scribd.com/doc/39818787/Tazkiyat-An-Nafsu-pembersihan-hati

[6] http://www.scribd.com/doc/39818787/Tazkiyat-An-Nafsu-pembersihan-hati
[7] http://alhujjah.com/index.php/component/content/article/23-tazkiyatun-nufus/65-tazkiyatun-nufus-penyucian-jiwa
[8] http://www.scribd.com/doc/39818787/Tazkiyat-An-Nafsu-pembersihan-hati