Tuesday, April 3, 2012

Jom Kongsi.. ;)

1.0 PENDAHULUAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dan bersyukur ke hadratNYA dengan limpah dan kurnia yang diberikan , saya Nor Azura Binti Azami dari Pusat Pengajian Sains Biologi telah berjaya menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan. Di sini juga saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru penasihat, Dr. Mohd Farid bin Mohd Sharif serta ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya dalam menyediakan amanah ini.            
Amalan perbomohan memang terkenal dalam masyarakat Melayu. Pelbagai kaedah perbomohan telah dipraktikkan, ada yang berasaskan ajaran Islam dan ada juga yang masih terpengaruh dengan unsur-unsur khurafat dan syirik. Satu kajian lapangan telah saya lakukan terhadap seorang penduduk kampung yang menyediakan khidmat rawatan tradisional. Sedikit analisa tentang rawatan yang beliau lakukan berdasarkan  aspek-aspek akidah Islam terhadap kepercayaan dan amalan dalam rawatan yang dilakukan telah saya huraikan di dalam esei ini.
Diharapkan segala isi kandungan esei ini dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri serta kepada yang membacanya. Sesungguhnya segala kebaikan itu datangnya daripada Allah dan segala kelemahan dalam menyiapkan esei ini adalah datang dari diri saya sendiri.
Sekian, Wasalam.

2.0 LATAR BELAKANG
            Baru-baru ini saya telah berkunjung ke sebuah rumah iaitu di *****, Perak dan menemu bual seorang penduduk kampung di sana yang menjalankan khidmat perubatan tradisional iaitu ***** Beliau berusia *** dan mempunyai lima orang anak. Menurutnya, beliau telah menjalankan rawatan tradisional ini selama lebih kurang lima tahun dan mempelajari ilmu rawatan ini melalui bapa beliau. Beliau juga menyatakan bahawa niat beliau dalam melakukan rawatan ini adalah untuk menolong umat Nabi Muhammad S.A.W dan berniat kerana Allah S.W.T. Rawatan yang dijalankan adalah mengurut bagi mereka yang mengalami sakit urat, sendi dan sakit belakang. Disamping itu juga, beliau juga ada membuat air penawar bagi penyakit demam panas, trauma atau terkejut dan juga membuat air penawar bagi melembutkan hati kanak-kanak yang tidak mahu pergi ke sekolah. Beliau juga menyatakan beliau ada meggunakan khidmat ‘pendamping’ dalam merawat terutamanya ketika menjalankan rawatan mengurut. Beliau juga mengatakan bahawa beliau tahu tentang ‘pendamping’ ini boleh membawa kepada perkara syirik kepada Allah. Namun, menurut beliau, ‘pendamping’ yang digunakan adalah dari kalangan jin Islam dan beliau tetap berserah kepada Allah S.W.T yang satu-satunya mampu menyembuhkan sesuatu penyakit itu.
            Megurut adalah rawatan utama yang dilakukan oleh beliau. Beliau menawarkan rawatan megurut ini tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa, lelaki atau perempuan. Bagi perempuan yang telah bersuami, si suami mestilah berada di sebelahnya  semasa urutan dijalankan dan bagi perempuan yang belum berkahwin, si bapa atau si ibu mestilah berada disebelah pesakit semasa urutan dilakukan. Masa megurut adalah selama 45 hingga 60 minit. Menurut beliau, urutan ini dilakukan oleh ‘pendampingnya’ yang akan meresap masuk ke dalam badan beliau dan melakukan urutan tersebut. Beliau juga menggunakan minyak kelapa yang dibuat oleh beliau sendiri dalam melakukan urutan ini. Minyak kelapa tadi akan dicampur dengan beberapa bahan lain seperti lada hitam dan bawang putih. Minyak ini juga akan dibacakan ayat-ayat jampi oleh beliau. Selain itu, beliau ada mengatakan bahawa, jika mengurut orang yang sakit ini, badi si pesakit akan datang kepada beliau, namun dengan adanya ‘pendamping’ ini, maka badi tadi tidak akan memberi kesan kepada beliau. Namun, pantang bagi pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis dan gout untuk mendapatkan khidmat rawatan mengurut ini.
            Selain daripada mengurut, beliau juga membuat air penawar bagi penyakit yang telah saya nyatakan seperti di halaman hadapan. Beliau menggunakan surah Al-Fatihah dalam membuat air penawar ini. Beliau juga akan berdoa kepada Allah, sebagai contoh yang berbunyi, “Ya Allah Ya Tuhanku, sembuhkanlah penyakit Abu Bin Ali”. Menurut beliau, nama pesakit mestilah berbin atau berbintikan nama ayah. Selain itu, kaedah berseru dengan memanggil roh-roh cucu cicit ghaib yang mempunyai banyak pecahan salasilahnya juga digunakan dalam menyediakan air penawar ini. Antara contoh nama yang diseru oleh beliau ialah Syed Abdul Kader Jalani. Di dalam menjalankan rawatan, beliau hanya menggunakan minyak kelapa yang dibuat sendiri bagi tujuan mengurut dan juga air botol biasa yang akan dijampi untuk dijadikan air penawar bagi tujuan perubatan.
           
3.0  PENGENALAN
3.1 BOMOH
Bomoh mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah mengubati penyakit atau pengubat penyakit. Menurut masyarakat malayu, bomoh adalah seseorang yang mengamalkan rawatan secara tradisional dan setiap bomoh mempunyai kaedah yang tersendiri dalam mengubati pesakit sama ada melalui jampi, urutan, penggunaan herba dan akar-akar kayu. Menurut perspektif Islam, bomoh atau mengubati penyakit adalah harus dari segi hukumnya. Namun dengan syarat kaedah bomoh sama ada melalui jampi, penggunaan herba dan akar-akar kayu tidak menyalahi akidah Islam. [1]
3.2 JIN
            Perkataan Jin adalah berasal dari bahasa Arab yang terdiri daripada dua huruf iaitu Jim dan Nun yang membawa maksud sesuatu yang tersembunyi. Jin itu digelar sedemikian kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata zahir tetapi boleh dilihat oleh manusia jika mereka menukar bentuknya. [2] Firman Allah yang berbunyi:
“Syaitan dan bangsanya boleh melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka” (Al-Araf : 27)
            Selain itu, Jin adalah suatu jenis roh yang berakal dan mempunyai kehendak, tidak dapat disaksikan bentuk dan tabiat mereka yang asli. Jin juga sama seperti manusia sama ada  baik, jahat, mukmin atau kafir. Didalam Al-Quran juga ada menyebut tentang kewujudan Jin ini. [3] Firman Allah yang berbunyi:
 “ dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya menyembah akan daku” (Az-zariyat: 56)
Terdapat dalam kalangan umat Islam yang meminta bantuan daripada Jin terutamanya para bomoh. Mereka berpendapat bahawa Jin-Jin baik ini dapat memberi pertolongan dalam menyembuhkan sesuatu penyakit. Antara cirri-ciri Jin baik adalah, Jin itu memperkenalkan dirinya dengan nama-nama Islam yang berbahasa Arab, Jin itu mengaku beragama Islam dan tidak kurang juga yang mengaku sebagai Syed-syed atau wali-wali, Jin itu suka bercakap atau mahir dalam hal-hal yang berkaitan agama, Jin itu suka memberi nasihat-nasihat yang baik atau “macam baik”, Jin itu melarang kepada perkara yang mungkar dan tahan apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran.
Namun, contoh-contoh ciri Jin baik seperti tadi, jin kafir juga boleh berbuat demikian. Yang penting mereka ada ilmu, bakat atau pandai berlakon. Kebiasaannya Jin itu kenal siapa manusia itu, apa kelebihan dan kelemahan mereka, apa kepercayaan dan tahap keyakinan mereka dan mungkin juga tahu sejarah hidup manusia itu sendiri terutamanya jika Jin itu adalah saka turun temurun dari keluarga atau keturunan manusia itu sendiri. [4]
Jin-Jin ini tunduk atau mengikut kehendak manusia kerana manusia menggunakan azimat, tangkal, pujaan dan jampi serapah yang boleh membawa kepada syirik dan kufur sehinggakan Jin kafir ini sedia berkhidmat bertujuan untuk menjadikan manusia yang kufur bertambah kufur dan yang beriman menjadi kafir. Namun, meminta pertolongan daripada Jin ini adalah berdosa.[5] Firman Allah yang berbunyi:
 “dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan daripada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan” (Al-Jin :6)
4.0 MENGAPA SYED ABDUL KADER JALANI DISERU?
            Shed Abdul Kader Jalani adalah pendakwah sufi mazhab hambali keturunan Parsi dan pemimpin mazhab Sufi Qadiri. Beliau dilahirkan pada 1 Ramadhan pada 470 H., 1078., di daerah Gilan, Parsi, (Iran). Kelahiran beliau dianggap satu rahmat yang besar daripada Allah kerana beliau tidak minum susu ibunya pada siang hari (bulan Ramadhan). Beliau juga dikenali sebagai Ghaus-e-azam dikalangan pengikutnya di Pakistan dan India. [6]
            Beliau adalah Ulama yang hebat sehinggakan ramai umat Islam yang menyanjungi dan mencintainya. Disamping itu, beliau juga telah diberikan gelaran Muhiyyuddin (pembangkit semula keyakinan) kerana jasa yang dilakukan beliau dalam pemikiran Dunia Islam.[7] Semasa beliau berusia dalam lingkungan 8 tahun, ibu beliau mengambil keputusan untuk menghantar beliau ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Ibunya juga telah menjahit wang 40 dinar dalam baju beliau. Sebelum bertolak, ibunya berpesan supaya jangan sekali-sekali bercakap bohong. Beliau telah menyertai sekumpulan kabilah untuk ke Baghdad. Namun, semasa dalam perjalanan, sekumpulan perompak telah menyerang mereka. Oleh kerana ketinggian akhlak beliau yang tidak berdusta mengenai wang yang disorokkan oleh ibu beliau dalam pakaiannya, akhirnya ketua perompak yang menyerang mereka telah memeluk agama Islam. Terdapat ramai umat Islam hingga ke hari ini juga yang menjadikan Syed Abdul Kader Jalani ini sebagai perantaraan dalam doa mereka. Mereka beranggapan bahawa doa mereka akan termakbul dengan adanya perantaraan melalui Syed Abdul Kader Jalani ini. [8] Tidak ketinggalan juga **** yang telah saya temu bual yang juga menyeru nama Syed Abdul Kader Jalani dalam kaedah rawatan yang beliau jalankan

5.0 TAHDIRUL – ARWAH (SPIRITISM)
            Tahdirul – arwah atau “memanggil roh” bukanlah sesuatu yang baru dalam kalangan masyarakat Islam pada zaman sekarang kerana perkara ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi di kalangan bangsa Cina, Mesir Kuno, Yunan, Roman, termasuk juga umat Islam.[9] Memanggil roh ini merupakan satu amalan yang sememangnya terkenal dalam kalangan para dukun, bomoh dan ahli sihir dalam menjalankan kaedah rawatan masing-masing. Namun, persoalannya sejauh mana kebenarannya bahawa manusia boleh memanggil roh yang telah meninggalkan jasad ini dapat kembali ke dunia untuk membantu para dukun dan bomoh ini untuk  menbantu mereka dalam merawat?
            Di dalam Al-Quran dan As-sunnah juga banyak menjelaskankan bahawa roh manusia yang telah meninggal dunia akan ditempatkan di alam roh atau alam barzakh dan tidak akan kembali ke dunia sehingga ke hari yang dibangkitkan semula di akhirat nanti. Firman Allah yang berbunyi:
“Agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tunggalkan.” Sekali-kali tidak! Sungguh, itu adalah dalih yang diucapkan saja. Dan dihadapan mereka ada barzakh sampai hari mereka dibangkitkan.” (Al-Mu’minun: 100)

            Di dalam Islam juga telah menekankan bahawa, urusan perihal roh ini hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, Firman Allah yang berbunyi:
"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (al-An`aam: 59)

Melalui ayat di atas jelas menunjukkan bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui mengenai perihal roh ini. Besar kemungkinan, roh yang datang sewaktu diseru oleh para bomoh ini adalah dari kumpulan jin atau makhluk yang jahat dan kotor, yang terdiri daripada iblis, ifrit atau syaitan yang ingin menyesatkan manusia.[10] Sesuai dengan firman Allah yang berbunnyi:
“Sesungguhnya benda yang kamu seru selain Allah, adalah makhluk-makhluk seperti kamu” (Al-Araf: 194)[11]
5.1 SYIRIK
            Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan perbuatan Allah dan ia merupakan dosa yang paling besar. Menurut Abu Bakrah r.a, Rasulullah S.A.W telah bersabda:
“Adakah kamu semua mahu aku beritahu tentang dosa yang paling besar? (diulang sebanyak tiga kali) Jawab sahabat: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Mensyirikkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)[12]
            Memanggil roh atau perbuatan menyeru ini boleh termasuk dalam kategori syirik besar (al-shirk al-akbar) iaitu berdoa kepada selain Allah (shirk al-du’a). Doa adlah sebahagian daripada ibadat, maka tidak harus ditujukan melainkan kepada Allah. Menggunakan jampi-jampi yang tidak diketahui maksudnya juga adalah termasuk dalam perbuatan syirik. [13] Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
 “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a.)

6.0  KESIMPULAN
            Setiap penyakit yang dijadikan oleh Allah diiringi dengan penawar atau ubatnya. Umat Islam dituntut untuk terus berusaha dalam mengubati sesuatu penyakit di samping bertawakal dan meyakini bahawa Allah adalah 'Penyembuh' yang berkuasa menyembuhkan apa jua penyakit. Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda yang berbunyi,
“sesungguhnya Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya akan penawarnya, maka hendaklah kamu semua berubat.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan an-Nasa'i ).
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat'menepati' penyakit maka berlakulah kesembuhan dengan izin Allah.” ( Hadis riwayat Muslim ).

      Namun, dalam usaha dan ikhtiar mencari kesembuhan kepada penyakit, umat Islam tidak dibenarkan sama sekali mendapatkan rawatan daripada para bomoh atau sesiapa sahaja yang kaedah rawatannya melibatkan amalan-amalan yang berunsur syirik kepada Allah. Contohnya, melalui temu bual yang saya lakukan, beliau mendapatkan bantuan daripada makhluk halus yang berkemungkinan ia adalah daripada kalangan jin kafir, iblis dan seumpamanya.[14] Sabda Rasulullah S.A.W yang melarang umat Islam berubat dengan bahan yang haram:
“sesunnguhnya Allah telah mencipta penyakit dan penawar, maka berubatlah, tetapi janganlah berubat dengan (bahan) yang haram.” (Hadis riwayat at-Tabarani)

Meminta perlindungan selain daripada Allah adalah perbuatan syirik. Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik.[15] Firman Allah yang berbunyi
“Dan DIA mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-NYA. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar” (Al-Nisa’ /4:48)

Disini dapat disimpulkan bahawa, menjadikan orang yang sudah meninggal sebagai perantara tidak ada syariatnya di dalam Islam dan perkara ini amatlah dilarang sama sekali. Apalagi kalau ada yang berdoa dan menyeru kepada roh si mati kerana hal ini termasuk dalam syirik besar yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Doa merupakan salah satu bentuk ibadah yang tidak boleh diberikan kepada selain Allah. Allah melarang makhluknya berdoa kepada selainNya.[16] Allah berfirman, yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorangpun di dalamnya di samping (menyembah) Allah." (QS. Al Jin:18)
Umat Islam disarankan untuk berikhtiar mengubati penyakit dengan cara yang betul seperti mendapatkan rawatan dari mereka-mereka yang mengamalkan perubatan cara Islam yang terhindar daripada kekufuran dan syirik. Apabila sudah berikhtiar, maka bertawakallah kepada Allah, kerana sesungguhnya setiap yang berlaku ke atas diri seseorang itu adalah dengan izin Allah.

4.0  RUJUKAN
1.      Al Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus,2004. Jin Rasukan & Pengubatannya. Selanor Darul Ehsan: Penerbit MALINDO COMMUNICATIONS.
2.      Muhammad Bin Soleh Al-Munajjid,2007. Dosa-dosa Yang Dipandang Remeh. Selangor Darul Ehsan. Penerbit: KARYA BESTARI.





[2] Al Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus,2004. Jin Rasukan & Pengubatannya. Selanor Darul Ehsan: Penerbit MALINDO COMMUNICATIONS. m/s 18
[3] Al Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus,2004. Jin Rasukan & Pengubatannya. Selanor Darul Ehsan: Penerbit MALINDO COMMUNICATIONS. m/s 4

[5] Al Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus,2004. Jin Rasukan & Pengubatannya. Selanor Darul Ehsan: Penerbit MALINDO COMMUNICATIONS. m/s 64
[9] Al Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus,2004. Jin Rasukan & Pengubatannya. Selanor Darul Ehsan: Penerbit MALINDO COMMUNICATIONS. m/s 66
[11] Muhammad Bin Soleh Al-Munajjid,2007.Dosa-dosa Yang Dipandang Remeh. Selangor Darul Ehsan. Penerbit: KARYA BESTARI. m/s 4.
[12] Muhammad Bin Soleh Al-Munajjid,2007.Dosa-dosa Yang Dipandang Remeh. Selangor Darul Ehsan. Penerbit: KARYA BESTARI. m/s 1.

[15] Muhammad Bin Soleh Al-Munajjid,2007.Dosa-dosa Yang Dipandang Remeh. Selangor Darul Ehsan. Penerbit: KARYA BESTARI. m/s 2
[16] http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Qadir_Jailani.Akses pada 7 NOVEMBER 2011.